MOHD Asna (tiga dari kiri) bersama jemaah yang menyertai himpunan bantahan aman terhadap isu penghinaan terhadap Islam dan Rasulullah SAW di Masjid Ibnu Khaldun, Senawang, Seremban, hari ini. FOTO Iqmal Haqim Rosman.
MOHD Asna (tiga dari kiri) bersama jemaah yang menyertai himpunan bantahan aman terhadap isu penghinaan terhadap Islam dan Rasulullah SAW di Masjid Ibnu Khaldun, Senawang, Seremban, hari ini. FOTO Iqmal Haqim Rosman.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


KIRA-KIRA 500 jemaah bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyertai bantahan aman terhadap isu penghinaan terhadap Islam dan Rasulullah SAW di Masjid Ibnu Khaldun, Taman Lavender Heights Senawang, hari ini.

Pengerusi masjid berkenaan, Mohd Asna Amin berkata, orang bukan Islam perlu menyedari penghinaan terhadap Rasulullah SAW boleh mencapai kemuncak kemarahan masyarakat di negara ini terutama Melayu.

“Ada orang cakap buat apa berkumpul jika membabitkan isu kecil iaitu penghinaan terhadap agama. Tanggapan itu salah kerana Nabi Muhammad SAW adalah pemimpin kesayangan dan kami akan bangkit membantah jika wujud penghinaan melampau.

“Bantahan ini adalah amaran supaya orang bukan Islam memahami sensitiviti umat Islam di negara ini.

“Jika dibandingkan negara Islam lain, penghina agama pasti berdepan hukuman sangat berat. Kami harap isu sebegini tidak lagi dilakukan,” katanya selepas turut serta dalam perhimpunan itu.

Selain itu, Mohd Asna turut menyerahkan memorandum meminta tindakan tegas diambil terhadap penghina Islam kepada Ketua Balai Polis Paroi, Sarjan Mejar Mohd Rani Dahlan untuk disampaikan kepada Ketua Polis Negara.

Beliau berkata, setakat ini, pihaknya sudah membuat dua laporan polis bersabit penghinaan terhadap Rasulullah SAW membabitkan lelaki warga emas berusia 68 tahun dan terbaru, terhadap seorang lelaki selepas video menghina Islam tular, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 11:54 PM