SESI dialog penduduk dengan pihak berkuasa berhubung masalah anjing terbiar di kabin Persatuan Warga Lavender Height, Seremban, semalam. FOTO Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
SESI dialog penduduk dengan pihak berkuasa berhubung masalah anjing terbiar di kabin Persatuan Warga Lavender Height, Seremban, semalam. FOTO Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


MASYARAKAT terutama netizen diminta menghentikan kecaman berhubung isu kematian beberapa ekor anjing terbiar di Taman Lavender Height, Seremban jika tidak mengetahui perkara sebenar.

Malah, kehadiran anjing terbiar di taman perumahan itu tidak mendapat perhatian walaupun penduduk banyak membuat aduan kepada pihak berkuasa sepanjang tahun lalu.

Penduduk yang juga bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Abd Rahim Mohd Radzi berkata, kecaman dan ugutan terhadap Pengerusi Masjid Ibu Khaldun, Mohd Asna Amin perlu dihentikan.

Beliay yang menetap di kawasan perumahan itu sejak lebih 10 tahun lalu, berkata kejadian meracun anjing terbiar bukan dilakukan Mohd Asna seperti yang ditularkan di media sosial.

“Isu ini menjadi panas di seluruh negara angkara pihak ketiga yang memperbesarkan kes, sedangkan masalah utama berkaitan banyaknya anjing terbiar di taman kami.

“Tiada yang ambil tahu biarpun berpuluh-puluh aduan dibuat sepanjang tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi dialog membabitkan 200 penduduk bersama polis, Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Sembilan dan kelab pencinta haiwan, semalam.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Thiew Hock Poh, Pengarah JPV Negeri Sembilan Dr Nik Hamidah Nik Husin dan Pengerusi Persatuan Penduduk Datuk Abd Aziz Ibrahim,

Pada program itu, penduduk meluahkan kekecewaan mereka apabila ada pihak yang menjadi ‘jaguh’ dengan memperbesarkan isu itu tanpa mengetahui perkara sebenar.

Menurutnya, anjing terbiar sering memasuki kawasan masjid dengan meminum air kolah wuduk, membuang najis dan mengejar kanak-kanak hingga ada yang cedera akibat terjatuh.

“Sejak tahun lalu, kira-kira 50 anjing terbiar ini sering membunuh kucing dan haiwan peliharaan penduduk.

“Jika ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang kononnya memperjuangkan nasib anjing terbiar, esok (hari ini) kami juga akan menubuhkan NGO bagi membela nasib kucing yang dibunuh anjing itu,” katanya yang menerima sahutan sokongan penduduk.

Seorang ahli jawatan kuasa masjid dikenali sebagai Hashim berkata, lebih tiga kali dia membersihkan rumah ibadat itu yang sering dimasuki anjing terbiar.

Katanya, keadaan menjadi lebih teruk apabila haiwan itu turut meninggalkan najis di dalam kawasan masjid termasuk di tempat mengambil wuduk.

Penduduk lain dikenali sebagai Ibrahim mempertikaikan jika pemilik haiwan itu boleh membuat laporan polis dan mendakwa anjingnya diracun.

“Bagaimana pula tindakan diambil ke atasnya yang tidak mengawasi haiwan peliharaannya hingga membahayakan penduduk taman terbabit,” katanya.

Menjawab pertanyaan itu, wakil MPS memaklumkan pemilik yang membiarkan anjing berkeliaran boleh dikompaun RM250 seekor mengikut Undang-Undang Kecil pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dalam pada itu katanya, MPS tidak bersikap lepas tangan dalam menangani masalah anjing terbiar, sebaliknya sebanyak 8,000 anjing terbiar ditangkap pada 2016 dan 4,000 pada 2017.

“Operasi menangkap anjing terbiar terpaksa dihentikan apabila kami menerima tentangan NGO,” katanya.

Sementara itu, Thiew berkata, kehadiran pihaknya adalah untuk mendamaikan keadaan dan berharap semua pihak menjaga sensitiviti antara kaum serta agama.

“Buat masa ini siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan,” katanya.

Berita berkaitan

Pengurusan masjid difitnah racun anjing

Anjing mati diracun

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 9:08 AM