HASSAN (lima dari kiri) bersama siswa yang menerima anugerah.
HASSAN (lima dari kiri) bersama siswa yang menerima anugerah.
Mohd Aizat Shamsuddin


KEBAJIKAN mahasiswa orang kurang upaya (OKU) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Nerus, Terengganu sentiasa diutamakan dan terbukti menerusi penubuhan Kelab Siswa Istimewa (KSI) bagi memastikan mahasiswa istimewa di kampus itu dapat mengikuti pengajian dengan selamat serta selesa.

Naib Canselor UniSZA, Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, KSI juga selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan yang mahu semua universiti di negara ini melaksanakan Dasar Inklusif OKU.

Katanya, KSI ditubuhkan susulan penubuhan Unit Perkhidmatan OKU UniSZA sebagai inisiatif universiti dalam memberi khidmat sokongan khusus kepada mahasiswa OKU.

“Saya melihat kegigihan mahasiswa ini yang sangat komited dengan pengajian di universiti dan sentiasa mempunyai idea dan inisiatif sendiri serta bukanlah daripada golongan yang suka menagih simpati atau sentiasa mengharapkan bantuan orang lain.

“Mereka berdikari sama seperti mahasiswa normal. Jadi UniSZA akan terus menyokong mereka supaya mampu terbabit dengan pelbagai program di peringkat antarabangsa seterusnya menghapuskan persepsi negatif masyarakat terhadap OKU,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Anugerah Tokoh Siswa UniSZA 2019 dan Pelancaran Unit Perkhidmatan OKU serta Kelab Mahasiswa Istimewa UniSZA yang diadakan di Dewan Al Muktafi Billah Shah, UniSZA, baru-baru ini.

Pada masa sama, beliau berharap KSI menjadi penghubung antara pelajar OKU dengan pengurusan universiti untuk memastikan mereka mendapat hak selayaknya sepanjang pengajian di UniSZA.

“Ini usaha yang berkesan untuk memastikan pembabitan mahasiswa OKU secara inklusif dalam semua aktiviti dan program di dalam atau luar kampus”, katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kelab OKU UniSZA, Muhammad Aliff Zainuddin berkata, penubuhan kelab itu akan menjadi pemudah cara untuk menyuarakan hasrat dan hak 46 mahasiswa OKU untuk disampaikan secara terus kepada pihak pengurusan universiti.

“Kami akan bersama-sama mewujudkan persekitaran inklusif supaya UniSZA terus menjadi universiti yang mesra OKU dan memberi impak positif kepada jati diri mahasiswa serta imej UniSZA itu sendiri.

“Ketika ini, kami merancang pelbagai program di peringkat antarabangsa dan komuniti setempat. Buat permulaan, kami akan mengadakan program umrah dan kunjungan ke Turki yang membabitkan 25 mahasiswa pada Mac tahun depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Disember 2019 @ 9:30 AM