ANGGOTA polis menyiasat di lokasi kejadian. (Gambar kecil) Muhammad Iskandar. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber/Ihsan Polis
ANGGOTA polis menyiasat di lokasi kejadian. (Gambar kecil) Muhammad Iskandar. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber/Ihsan Polis
Nurul Fhatihah Zakinan


REMAJA lelaki maut apabila motosikal ditunggang bergesel dengan sebuah lori, sebelum mangsa tercampak ke bahu jalan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Bukit Lintang, Melaka, malam tadi.

Mangsa Muhammad Iskandar Mohd Rizal Abdul Rasyid, 17, yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal mangsa bergesel dengan sebuah lori syarikat pelbagai jenis biskut yang dipandu, Arjunaidi Ahmad, 57.

Menurutnya, kedua-dua kenderaan dari arah sama iaitu lampu isyarat Kandang menghala ke lampu isyarat Umbai.

“Kejadian menyebabkan mangsa tercampak ke bahu jalan, manakala pemandu lori tidak mengalami kecederaan.

“Kedua-dua kenderaan ditahan bagi tujuan Pusat Pemeriksaan Berkomputer (PUSPAKOM) manakala mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian,” katanya.

Beliau berkata, mangsa tidak lagi bersekolah.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 1:16 PM