TERTUDUH (kiri) didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas pertuduhan pecah amanah. FOTO Siti Norhidayatidayu Razali
TERTUDUH (kiri) didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas pertuduhan pecah amanah. FOTO Siti Norhidayatidayu Razali
Siti Nor Hidayatidayu Razali


WANITA hamil sebulan didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini, terhadap pertuduhan pecah amanah dengan menggunakan barangan kosmetik milik syarikat tempatnya bekerja bernilai RM1,564, September tahun lalu.

Tertuduh, Nur Suehada Kamarozaman, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Tertuduh yang bekerja sebagai kerani diamanahkan barangan kosmetik milik Farhana Maju Trading didakwa melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan harta bagi kegunaan sendiri di kedai kosmetik itu di Kuala Krai antara 10 hingga 5 petang pada 1 September 2018 hingga 31 September 2018.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Kesekaaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun dan maksimum 14 tahun dan dengan sebatan dan hendaklah juga dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Hajarul Falenna tidak membenarkan tertuduh dikat jaminan, namun tertuduh memohon jaminan dibenarkan kerana mengandung sebulan.

Tertuduh dibenarkan diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Mahkamah kemudian menetapkan 20 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Gambar Siti Nor Hidayatidayu Razali

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Februari 2019 @ 5:21 PM