GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Junaidi Ladjana


TINDAKAN berani seorang wanita mengejar lelaki yang meragut telefon bimbitnya berhasil apabila suspek ditangkap di hadapan kedai di Kompleks Segama, Kota Kinabalu, petang semalam.

Dalam kejadian 6.30 petang itu, suspek warga Filipina berusia 33 tahun ditahan pengawal keselamatan di kompleks beli-belah berhampiran selepas terdengar jeritan wanita terbabit meminta tolong.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, ketika kejadian mangsa berusia 31 yang bekerja di sebuah hotel berdekatan baru selesai membeli barang dan dalam perjalanan pulang ke bilik sewanya di kawasan Kompleks Segama.

“Ketika sedang berjalan di koridor kedai di Kompleks Segama, seorang lelaki datang dari arah belakang dan terus meragut telefon bimbit dari tangan mangsa.

“Mangsa kemudian mengejar lelaki terbabit sehingga ke sebuah kompleks beli-belah berdekatan sambil menjerit meminta tolong,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pengawal keselamatan di kompleks itu yang terdengar jeritan mangsa segera mengejar suspek dan berjaya menangkap lelaki terbabit.

Menurutnya, suspek kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Wanita terbabit tidak cedera dan suspek kini direman sehingga 26 Februari untuk siasatan lanjut mengikut Seksysn 392 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Februari 2019 @ 3:23 PM