Tertuduh di penjara dua bulan dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Alor Setar hari ini. FOTO Ihsan PDRM
Tertuduh di penjara dua bulan dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Alor Setar hari ini. FOTO Ihsan PDRM
Aizat Sharif


LIMA ‘ulat parkir’ di penjara dua bulan dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Alor Setar hari ini selepas mengaku bersalah mendesak bayaran daripada orang awam di Stadium Darul Aman ketika perlawanan Liga Super antara Kedah dengan Felda United Sabtu lalu.

Tertuduh, Muhammad Zikri Zainol Abdin, 23, Tan Keok Keong, 54, G Rajendran, 42, M Marimuthu, 40, dan S Domonic Richard, 42, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurshahida Abdul Rahim.

Berdasarkan pertuduhan, semua tertuduh didakwa mendesak pemandu kenderaan meletakkan kenderaan mereka dan menuntut pembayaran di Jalan Stadium dan Jalan Tun Razak berhampiran Stadium Darul Aman pada 16 Februari lalu 4.30 petang.

Tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 119(2) APJ 1987 (Akta 333/87).

Muhammad Zikri dan Tan bertindak membayar denda RM1,000 manakala tertuduh lain gagal berbuat demikian menyebabkan mereka menerima hukuman penjara dua bulan.

Pendakwaan dilakukan Pendakwa Raya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Inspektor Ahmad Shukri Saadon manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 7:11 PM