Faliq Lajim


SUASANA di Taman Sentosa, Klang gempar seketika apabila dua lembu jantan ‘membeli belah’ di sebuah kedai serbaneka di kawasan itu Jumaat lalu.

Dalam kejadian 11 pagi itu, dua haiwan terbabit dikatakan memasuki premis berkenaan kerana kelaparan mencari makanan.

Penduduk yang mahu dikenali sebagai Lin, 30, berkata, ketika kejadian dia membeli barangan keperluan dan terdapat lima pelanggan serta tiga pekerja premis itu.

“Ketika membeli barangan kering, saya terkejut apabila dua lembu tiba-tiba datang dengan seekor memasuki premis itu.

“Lembu itu dipercayai mencari makanan dan pelanggan serta pekerja memberikan roti sebelum haiwan itu beredar,” katanya.

Lin berkata, kejadian itu kali pertama berikutan pemiliknya membiarkan haiwan berkenaan berkeliaran.

Dua lembu yang memasuki sebuah kedai serbaneka Jumaat lalu. FOTO Ihsan Pembaca
Dua lembu yang memasuki sebuah kedai serbaneka Jumaat lalu. FOTO Ihsan Pembaca

“Kebiasaannya, lembu itu hanya meragut rumput di tepi jalan namun tidak sangka sehingga memasuki pasar raya.

“Namun, mujur tiada sesiapa cedera dalam kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Korporat Majlis Perbandaran Klang (MPK), Norhafiza Mahfuz berkata, tindakan sita terhadap haiwan berkenaan boleh diambil termasuk mengenakan kompaun kepada pemiliknya.

“Membiarkan lembu berkeliaran di tempat awam adalah kesalahan kerana mengganggu ketenteraman awam dan keselamatan jalan raya,” katanya.

Sebelum ini, satu video tular di laman Facebook (FB) yang memaparkan dua lembu itu dilihat berlegar-legar di hadapan premis berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 5:30 PM