Hazira Ahmad Zaidi


Kuala Krai : Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Wilayah Timur mencatatkan 70 kes tren melanggar haiwan ternakan penduduk seperti lembu, kerbau dan kambing sepanjang laluannya di seluruh jajaran KTMB di Semenanjung Malaysia dalam tempoh Januari hingga September tahun ini.

Ketua Komunikasi Strategik KTMB, Ahmad 'Asri Khalbi berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 121 kes tren melanggar haiwan ternakan yang direkodkan.

Katanya, pada tahun ini dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), KTMB mengadakan lima siri pertemuan dengan penternak iaitu di Labu dan Jempol (Negeri Sembilan), Bera (Pahang), Tapah dan Gua Musang (Kelantan).

"Lokasi ini menjadi kawasan 'titik panas' atau hot spot di mana kerap berlakunya insiden kereta api melanggar haiwan ternakan.

"Dalam pertemuan yang diadakan itu, kami mengingatkan mereka supaya tidak membiarkan haiwan ternakan berkeliaran sesuka hati, kerana ia boleh membahayakan penumpang dan tren itu sendiri," katanya ketika ditemui di Stesen Kereta Api Dabong, di sini, semalam.

Katanya, walaupun peringatan sudah dikeluarkan kepada penduduk yang tinggal berdekatan laluan tren supaya menambat ternakan mereka namun masih ada dalam kalangan penduduk yang berdegil dan tidak mengambil serius mengenainya.

"Apabila berlaku kejadian seumpama itu dan ketika siasatan dilakukan tidak ada mana-mana penduduk mengaku yang ia membabitkan haiwan ternakan mereka kerana khuatir akan diambil tindakan undang-undang.

"Mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, jika penternak membiarkan haiwan ternakan berkeliaran sehingga membahayakan nyawa penumpang dan aset KTMB, mereka boleh dikenakan denda RM500 bagi setiap ekor haiwan yang berkeliaran," katanya.

Ahmad 'Asri berkata, kebiasaannya pihak KTMB akan memaklumkan jadual perjalanan tren kepada penternak bagi mengelakkan berlakunya kejadian yang tidak diingini terutamanya pada waktu malam.

"Pada masa sama, pemandu tren juga sudah peka dengan kawasan titik panas dan apabila tibanya di kawasan berkenaan mereka akan memperlahankan kereta api kerana bimbang ada haiwan yang melintas termasuk babi liar dan juga gajah," katanya.

Pegawai JPV dan KTMB Wilayah Timur mengadakan pertemuan dengan penternak lembu di Kampung Dabong. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Pegawai JPV dan KTMB Wilayah Timur mengadakan pertemuan dengan penternak lembu di Kampung Dabong. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2020 @ 8:53 AM