Kong Hwei Zhen cipta sejarah tersendiri. FOTO Bernama
Kong Hwei Zhen cipta sejarah tersendiri. FOTO Bernama
BERNAMA

‘DI mana ada kemahuan, di situ ada jalan’, ‘Nak seribu daya, tak nak seribu dalih’.

Pepatah itu dituju bagi menggambarkan keazaman dan kesungguhan gadis muda yang cacat penglihatan memenuhi impiannya menjadi peguam.

Kong Hwei Zhen, pemegang Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama, Jurusan Undang-Undang, University Liverpool, United Kingdom yang mengalami cacat penglihatan sejak kecil kerana masalah ‘Glaukoma’, bangga dan gembira kerana berjaya menangani cabaran dan kekangan sepanjang enam tahun pengajiannya di negara asing.

Kong, 24, yang menamatkan pengajiannya di University Liverpool pada 2016 dan berjaya mendapatkan Sijil Amalan Guaman pada 2017, diterima masuk sebagai peguam ketika prosiding penerimaan masuk peguam bela dan peguam cara di hadapan Hakim Datuk Nordin Hassan hari ini.

“Dalam keadaan seperti ini, tidak mudah bagi saya diterima masuk sebagai peguam, saya sangat menghargainya, gembira dan sangat bangga dengan kejayaan ini,” kata anak sulung dari tiga beradik itu selepas prosiding itu.

Memulakan persekolahan di Sekolah Kebangsaan Sungai Kantan seterusnya Sekolah Menengah Kebangsaan Kajang Utama, Kong tidak pernah berfikiran negatif malah sentiasa bersemangat mencapai cita-cita sebagai peguam.

“Saya nak jadi juara dan memperjuangkan hak mereka yang senasib dengan saya, membantu mereka suarakan hasrat mereka khususnya berkaitan dengan kemudahan untuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU),” katanya yang menamatkan pengajian pada 2016 dan pernah menerima anugerah kecemerlangan sepanjang tempoh pengajiannya.

Anak kepada pasangan Kong Siew Foi, 58, dan Won Yuen Fong, 57, itu turut menyimpan impian untuk mengendalikan forum bagi membincangkan isu yang sering dikaitkan dengan OKU.

Menceritakan cabaran yang dihadapinya, Kong berkata, selain sukar mendapatkan bahan bacaan dan rujukan dalam format braille beliau juga perlu mendapatkan lesen ‘electronic-copy’ (salinan elektronik) daripada penerbit buku untuk menyediakan bahan bacaan dalam bentuk yang mudah digunakannya.

“Biasanya dua hingga tiga bulan untuk saya dapatkan bahan dalam bentuk electronic-copy, tetapi ada juga penerbit enggan untuk beri lesen, itu antara cabaran yang perlu saya hadapi,” katanya.

“Bagaimanapun University Liverpool ada menyediakan kemudahan untuk pelajar seperti saya dan ia sangat membantu saya sepanjang tempoh pengajian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Februari 2019 @ 7:27 PM