POLIS melakukan pemeriksaan di banglo berkenaan. FOTO Ihsan Polis
POLIS melakukan pemeriksaan di banglo berkenaan. FOTO Ihsan Polis
Izlaily Nurul Ain Hussein


AKTIVITI perjudian dalam talian yang berpangkalan di China kini beralih arah pula ke banglo di Johor Bahru, selepas beberapa siri serbuan dilakukan polis di rumah kedai yang dijadikan pusat panggilan bagi kegiatan mereka.

Serbuan dijalankan Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama D7 JSJ Bukit Aman kira-kira 3 petang semalam, berjaya membongkar kegiatan dijalankan di lokasi baharu itu yang dipercayai sudah beroperasi kira-kira dua bulan.

Pegawai Turus D7, JSJ Johor, Deputi Superintendan Mohd Zairi Badderul berkata, serbuan turut dibantu Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara (JBU) itu dibuat di sebuah banglo di Jalan Bukit Kempas 2/1, Taman Bukit Kempas.

Menurutnya, siasatan awal mendapati premis terbabit menjalankan aktiviti mengurus dan menerima pertaruhan judi secara dalam talian.

“Kita percaya semua pelanggan aktiviti ini adalah warga China yang berada di sana (China). Pertaruhan ini akan dibuat setiap tiga minit sekali dan pelanggan boleh membuat pertaruhan pada bila-bila masa kerana ia beroperasi 24 jam yang mana nilai pertaruhan untuk sehari boleh mencecah sehingga RM1 juta, ” katanya.

Selain itu, katanya, premis berkenaan juga berfungsi dalam mempromosikan aktiviti perjudian dalam talian di China melalui iklan yang dihantar ke nombor telefon secara rawak melalui aplikasi telefon.

“Premis ini juga bertindak sebagai pengurusan transaksi keluar masuk wang atau kredit bagi aktiviti perjudian dalam talian,” katanya.

Menurutnya, dalam serbuan itu, seramai 12 warga China termasuk seorang wanita ditahan.

“Seramai sembilan pegawai dan 19 anggota menyerbu banglo itu dan menahan 11 lelaki warga China serta seorang wanita warga China semuanya berusia antara 18 hingga 44 tahun.

“Dalam serbuan itu, kita turut merampas tujuh set komputer, 35 telefon bimbit pelbagai jenama, empat modem Wifi, dua router, empat buku catatan, dua kalkulator, 12 pasport dan empat kad pengenalan diri warga China,” katanya.

Mohd Zairi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Disember 2019 @ 10:09 AM