Ekhwan Haque Fazlul Haque


Pertemuan singkat selama sejam cukup untuk meleraikan kerinduan ibu terhadap anak kesayangannya yang terpisah sejak 63 hari lalu.

Pelukan dan kucupan kerinduan memecah keheningan sebaik Yusuf Islam Abdul Halik dipertemukan dengan ibunya, Zunita Sedini, 42, di Penjara Wilayah Banteay Meanchey di Poipet, Kemboja jam 10.30 pagi waktu tempatan.

Pertemuan memilukan itu menjadi kenyataan selepas 63 hari Yusuf Islam, 21, yang berasal dari Petra Jaya, Kuching ditahan bersama 46 lagi rakyat Malaysia di penjara yang terletak 446 kilometer ke utara Phnom Penh.

Zunita tiba bersama rombongan dikendalikan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shein yang tiba di Siam Reap hari ini.

Ahli keluarga Zunita memaklumkan pertemuan itu berlaku dalam suasana santai namun dipantau rapi pasukan petugas keselamatan penjara.

“Kakak ipar masuk (ke dalam penjara) dan terus dipeluk Yusuf.

“Tahanan lain juga turut mengerumuni kakak ipar dan meminta tolong supaya mereka dibebaskan segera,” katanya.

Bagaimanapun, dia yang enggan namanya disiarkan berkata, kamera termasuk telefon bimbit tidak dibenarkan dibawa masuk ke penjara, menyebabkan tiada gambar atau video pertemuan dapat dirakamkan.

Yusuf kini bersama 46 rakyat Malaysia lain menanti sinar untuk dibebaskan selepas ditahan sejak 11 Disember lalu.

Wisma Putra sudah mengatur gerak pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Phonm Penh selain bekerjasama rapat dengan pegawai Kementerian Luar di Putrajaya dan Sarawak.

Kisah penahanan rakyat Malaysia itu mengejutkan kerana mereka menjadi antara mangsa pemerdagangan manusia terbesar membabitkan rakyat Malaysia.

Setakat ini, beberapa siri pertemuan antara kerajaan Malaysia dan Kemboja sudah dilakukan namun keputusan lanjut masih dalam perbincangan.

Berita berkaitan:

'Rindu 63 hari bakal terubat' [METROTV]

Kunjungan bawa harapan tinggi

Keluarga 47 tahanan di Kemboja semakin resah

Seorang masuk hospital

Serah kepada Kemboja jalankan siasatan

Nota diplomatik sudah diserahkan

'Tolong kamek mummy'

Mana kerja dijanjikan?

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 5:59 PM
Zunita bersama Larry Sng selepas menemui tahanan rakyat Malaysia di Siem Reap hari ini. FOTO Ihsan Pejabat Parlimen Julau
Zunita bersama Larry Sng selepas menemui tahanan rakyat Malaysia di Siem Reap hari ini. FOTO Ihsan Pejabat Parlimen Julau