OSMAN (tengah) enggan ditemuramah pihak media. FOTO Hairul Anuar Rahim
OSMAN (tengah) enggan ditemuramah pihak media. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohd Fahmi Mohd Yusof

Kulai: Menteri Besar Datuk Osman Sapian mengambil pendirian mengunci mulut tanpa memberi sebarang ulasan berhubung dakwaan tidak memiliki ijazah perakaunan daripada sebuah universiti tempatan.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor itu yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka dan Penyerahan Sumbangan Tahun Baharu Cina 2019 di Dewan Serbaguna Taman Putri di sini, semalam hanya tersenyum ketika didekati media.

Penantian wakil media untuk mendapat penjelasan pemimpin utama negeri ini tidak berhasil dan Osman hanya tersenyum ketika diminta pemberita untuk menjawab dakwaan bahawa dirinya tidak memiliki ijazah seperti yang tular di laman sosial sejak kelmarin.

Beliau kemudiannya beredar meninggalkan majlis itu dengan menaiki kenderaan rasmi jam 4 petang.

Terdahulu, tular di media sosial dakwaan Osman tidak memiliki Ijazah Perakaunan daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) selain ada pihak yang turut membuat semakan secara dalam talian dalam laman rasmi universiti berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor Hassan Karim berkata, isu membabitkan harta intelek iaitu sijil atau ijazah sememangnya memberi kesan terhadap kepemimpinan PH.

“Pihak yang membuat tuduhan ini perlu mengemukakan fakta dan sokongan terhadap tuduhan dibuat manakala pihak yang dituduh juga sebaik-baiknya perlu menjelaskan dan menjawab perkara ini.

“Apa yang disiarkan di akhbar dan berita televisyen pada pandangan saya masih lagi dianggap sebagai hear say (khabar angin) dan boleh menimbulkan persoalan serta persepsi dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Menurutnya, beliau bagaimanapun bersikap terbuka dan tindakan pihak yang menyiasat dan membongkar perkara berkenaan dilihat sebagai keterbukaan yang diamalkan kerajaan PH bagi membolehkan orang ramai tahu mengenai wakil rakyat mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Februari 2019 @ 6:04 AM