Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Negeri Kelantan. FOTO Facebook Azmin Ali
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Negeri Kelantan. FOTO Facebook Azmin Ali
Idris Musa

PAS menyambut baik pelantikan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Negeri Kelantan malah menyifatkannya sebagai pilihan tepat.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya yakin pelantikan itu akan memudahkan hubungan dua hala antara kerajaan negeri dan Pusat.

Malah katanya, ia sebagai pembuka jalan menyelesaikan masalah bayaran royalti minyak yang tertunggak sekian lama.

“Terima kasih diucapkan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir (Mohamad) atas pemilihan yang tepat ini.

“Pelantikan Azmin ini dilihat suatu usaha bagi mengeratkan hubungan antara kerajaan Kelantan dan Pusat selaras dengan prinsip sistem federalisme di dalam negara ini.

“Usaha ini diharap dapat memacu usaha pembangunan negeri Kelantan secara langsung, bila mana ia membabitkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi sebagai Pengerusi bagi menyelaraskan pembangunan,” katanya tadi.

Mohamed Azmin dilantik sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Negeri Kelantan berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Majlis itu diwujudkan di setiap negeri bertanggungjawab memastikan keputusan Majlis Tindakan Negara (MTN) di peringkat Persekutuan dilaksanakan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 7:44 PM