Pelantikan Nik Omar (kiri) dan Zolkharnain berkuatkuasa1 Disember lalu.
Pelantikan Nik Omar (kiri) dan Zolkharnain berkuatkuasa1 Disember lalu.
Zanariah Abd Mutalib


PENDAKWAH bebas, Nik Omar Nik Abdul Aziz dan Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH, Zolkharnain Abidin masing-masing dilantik sebagai Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) berkuat kuasa 1 Disember lalu.

YADIM memaklumkan, Nik Omar yang juga bekas calon Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum lalu menggantikan Dr Yusri Mohamad yang menamatkan perkhidmatannya pada 31 Oktober , manakala Zolkharnain menggantikan Mohd Zaidi Ramli yang bertukar ke Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan.

YADIM berkata, pelantikan mereka adalah berdasarkan Klausa 7(a) Perlembagaan YADIM yang menyatakan bahawa semua pelantikan Yang Dipertua YADIM dan Timbalan Yang Dipertua adalah di bawah keputusan Perdana Menteri.

Katanya, mereka akan memegang jawatan itu selama tempoh dua tahun.

“Dengan pelantikan itu, Ustaz Nik Omar kini menjadi Yang Dipertua YADIM yang ke-13 sejak penubuhan badan dakwah ini pada 1974,” katanya.

YADIM adalah sebuah badan amanah yang didaftarkan di bawah Trust Incorporation Ordinance 1952 yang bertanggungjawab kepada Perdana Menteri.

YADIM ditubuhkan sebagai sebuah badan yang bertindak bagi menyelaras aktiviti serta program dakwah yang pelbagai di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Disember 2018 @ 10:22 PM