Melvin Joni


PELBAGAI helah licik digunakan sindiket mercun dan bunga api untuk menyeludup masuk bahan terlarang itu, lebih-lebih lagi wujud permintaan tinggi menjelang Tahun Baharu Cina.

Terbaru, sebuah rumah sarang burung walit di Kampung Sorak Melayu, Serian dijadikan sebagai stor penyimpanan mercun dan bunga api sebelum diedarkan ke rangkaian pengedaran mereka.

Taktik terbongkar hasil intipan dan pemantauan selama seminggu oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak.

Komander Briged PGA Sarawak, Datuk Khaw Kok Chin berkata, serbuan dilakukan ke lokasi berkenaan jam 6.20 petang kelmarin melalui operasi khas, Ops Libas.

Katanya, operasi itu membabitkan seorang pegawai dan 12 anggota risikan Batalion 11 PGA Sarawak bersama empat pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Hasil serbuan membawa kepada rampasan merampas 82 kotak mercun dan bunga api pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM80,000 sebelum cukai,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Kok Chin berkata, ketika serbuan, anggotanya turut menahan dua lelaki tempatan berusia 51 dan 55 tahun yang mengaku diri sebagai pemilik rumah sarang burung walit itu.

Malah, semasa disoal siasat, beliau berkata kedua-dua lelaki tempatan itu dengan berani cuba memberi suapan kepada anggota bertugas.

“Bukan sahaja mereka gagal menunjukkan dokumen untuk mengesahkan mercun dan bunga api tersebut dibayar cukai, malah seorang yang dikenali dengan panggilan ‘Mr Wong’ menawarkan wang suapan sebanyak RM7,000 supaya tidak dikenakan tindakan.

“Ekoran tindakan itu, mereka ditahan kerana cuba memberi rasuah mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009,” katanya.

Sebahagian dari mercun dan bunga api yang dirampas.
Sebahagian dari mercun dan bunga api yang dirampas.

Kok Chin berkata, kes turut disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (D) Akta Kastam 1969 kerana memiliki, menyimpan, mengangkat, menghantar, menyorok dan menjual mercun atau bunga api tanpa kebenaran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 7:47 PM
Kok Chin (duduk di kanan) pada sidang media mengenai rampasan mercun dan bunga api yang diperolehi daripada sebuah rumah burung walit di Kampung Sorak Melayu, Serian. FOTO Melvin Joni.
Kok Chin (duduk di kanan) pada sidang media mengenai rampasan mercun dan bunga api yang diperolehi daripada sebuah rumah burung walit di Kampung Sorak Melayu, Serian. FOTO Melvin Joni.