GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Melvin Joni


DUA lelaki warga Indonesia ditahan kelmarin, selepas menawarkan wang sogokan RM180 kepada anggota polis sebagai ganjaran untuk tidak mengambil tindakan terhadap mereka yang memasuki negeri ini secara haram.

Komander Briged Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak, Datuk Khaw Kok Chin berkata, dua lelaki terbabit adalah antara enam warga Indonesia, terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita berusia dalam lingkungan 20 hingga 39 tahun yang ditahan di Tebedu.

Beliau berkata, mereka ditahan dalam Ops Libas yang dijalankan Unit Risik Batalion 11 PGA Kuching dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak.

Katanya, semua pendatang asing tanpa izin (PATI) itu ditahan ketika pemeriksaan ke atas sebuah bas di Bandar Baru Mutiara, Tebedu, Serian yang disyaki menyeludup masuk warga Indonesia tanpa dokumen perjalanan yang sah ke Malaysia.

“Hasil pemeriksaan juga menahan seorang lelaki tempatan kerana disyaki membawa warga asing tanpa permit.

“Turut ditahan enam warga Indonesia kerana tiada dokumen perjalanan yang sah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PGA Sarawak di sini, hari ini.

Kok Chin berkata, pihaknya turut dirampas 12 pasport Indonesia dengan nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM3,780.

Katanya, sabit kesalahan memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak kurang lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Februari 2020 @ 4:19 PM