DOUGLAS (tiga dari kanan) menunjukkan pes durian sejuk beku untuk dieksport ke Kuala Lumpur di ATA Supplies, Bintawa di Kuching. FOTO Melvin Joni
DOUGLAS (tiga dari kanan) menunjukkan pes durian sejuk beku untuk dieksport ke Kuala Lumpur di ATA Supplies, Bintawa di Kuching. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni


SARAWAK kini menjadi pembekal utama pes durian kampung yang secara tidak langsung membangunkan serta mengembangkan rantaian pasaran produk durian negeri itu ke pasaran luar.

Pes durian dari Sarawak bukan saja dieksport ke Kuala Lumpur malah turut mendapat permintaan yang memberangsangkan dari China untuk menghasilkan produk berasaskan raja buah itu seperti ais krim, kek dan biskut.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, inisiatif itu adalah hasil daripada model perniagaan dan pembangunan Perkongsian Sektor Awam-Swasta (PPP) antara kerajaan negeri dengan ATA Supplies untuk memperluaskan pasaran produk durian.

Katanya, kewujudan rantaian pasaran durian itu bukan saja membantu petani khususnya di luar bandar Sarawak untuk meraih pendapatan malah mencapai sasaran kerajaan negeri untuk menjadikan Sarawak sebagai pengeksport makanan menjelang 2030.

"Durian ini yang dijadikan pes dibeli dari penduduk di sekitar Padawan, Bau, Serian, Simunjan dan Betong sebelum diproses menjadi pes untuk digunakan bagi menghasilkan produk makanan berasaskan buah berkenaan.

"Inisiatif terbaru ini mampu merancakkan ekonomi setempat dan pengusaha ladang durian tempatan selain menyuntik peningkatan ekonomi Sarawak," katanya ketika menyempurnakan penghantaran pes durian tempatan Sarawak ke Kuala Lumpur di Kuching, hari ini.

Hadir sama, Menteri Muda Pertanian, Dr Abdul Rahman Ismail, Setiausaha Tetap Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Datu Ik Pahon Joyik dan pemilik ATA Supplies, Andeline Poo Phei Sian.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata, kerjasama dengan syarikat berkenaan membantu menyelesaikan isu lambakan durian yang dihadapi oleh petani di luar bandar sehingga menyebabkan kejatuhan harga ketika musim buah.

Sementara itu, Andeline berkata, syarikatnya menyasarkan 100 tan metrik pes durian kampung yang diperoleh dari Betong, Serian, Simunjan, Bau dan Padawan untuk dieksport ke luar Sarawak.

Katanya, sejak Disember 2018, ATA Supplies membeli sebanyak 270 tan metrik durian untuk menghasilkan sebanyak 42 tan metrik pes durian daripada penduduk setempat.

"Penghantaran pertama kami ke Kuala Lumpur sebanyak 12 tan metrik pada 3 Januari lalu manakala hari ini adalah penghantaran kedua sebanyak 15 tan metrik dan penghantaran ketiga juga sebanyak 15 tan metrik akan dibuat esok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 5:25 PM