Sejumlah botol air ketum ditemui disimpan dalam tong plastik. FOTO Ihsan PDRM
Sejumlah botol air ketum ditemui disimpan dalam tong plastik. FOTO Ihsan PDRM
Zuliaty Zulkiffli


ANGGOTA Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia ditahan polis malam tadi kerana disyaki menjual air ketum dan memiliki 86 botol kecil ubat batuk.

Lelaki berstatus duda berusia 39 tahun itu dicekup anggota Balai Polis Air Hitam dalam serbuan jam 12.05 tengah malam di tepi kedai kosong tidak bernombor di Kuala Sanglang, Jitra.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, serbuan dilakukan berdasarkan maklumat awam yang diterima berkaitan aktiviti penjualan ketum di kawasan itu.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan menemui 86 botol kecil ubat batuk berjenama Dynadryl Syrup dan sembilan botol plastik mengandungi cecair disyaki air ketum kira-kira 1.5 liter setiap botol.

“Selain itu, anggota kami turut menemui empat tong plastik mengandungi cecair disyaki air ketum dengan anggaran 18 liter setiap tong.

“Semua barangan dirampas dibawa ke Balai Polis Air Hitam untuk tindakan lanjut,” katanya hari ini.

Mohd Ismail berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 January 2019 @ 2:44 PM