LOGO halal dicetak bersama gambar dewa Hindu pada risalah menu di sebuah restoran makanan India di Lebuh Pasar, Georgetown, dikesan penguat kuasa KPDNHEP Pulau Pinang dalam operasi hari ini. FOTO Ramdzan Masiam.
LOGO halal dicetak bersama gambar dewa Hindu pada risalah menu di sebuah restoran makanan India di Lebuh Pasar, Georgetown, dikesan penguat kuasa KPDNHEP Pulau Pinang dalam operasi hari ini. FOTO Ramdzan Masiam.
Muhammad Yusri Muzamir


LOGO halal dicetak di atas risalah menu yang turut memaparkan gambar dewa Hindu antara kesalahan dikenal pasti dilakukan sebuah restoran makanan India di Lebuh Pasar, Georgetown.

Tindakan itu dikesan dilakukan restoran terbabit dalam pemeriksaan dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri dengan kerjasama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam negeri.

Pengarah KPDNHEP negeri, Mohd Ridzuan Ab Ghafar, berkata restoran terbabit kini disiasat kerana didapati menyalahgunakan logo halal, selain cuba memperdaya atau mengelirukan pelanggan dalam kalangan umat Islam.

“Restoran ini didapati melakukan kesalahan mengikut Perintah 4, Perintah Dagangan (Takrif Halal) 2011 kerana melakukan representasi yang boleh memperdaya atau mengelirukan orang bahawa makanan itu adalah halal atau boleh dimakan umat Islam.

“Selain itu, sebuah restoran mempunyai ritual agama Hindu turut disiasat kerana menyalahgunakan sijil penyembelihan halal, manakala sebuah restoran makanan India lain dikenal pasti menggantung ayat al-Quran di dinding premis mereka.

“Semua kesalahan ini dikenal pasti dalam operasi dijalankan di empat restoran yang menjadi tumpuan ramai khususnya pelancong termasuk umat Islam,” katanya pada sidang media di Georgetown, hari ini.

Mohd Ridzuan berkata, semua kes terbabit akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan lanjut, selain 10 kompaun dikeluarkan terhadap restoran terbabit atas pelbagai kesalahan berkaitan pematuhan lesen.

Beliau berkata, kesalahan takrif halal memperuntukkan hukuman denda tak lebih RM5 juta bagi kesalahan pertama dilakukan syarikat, manakala denda maksimum RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun bagi pesalah individu.

“Operasi ke atas restoran di sekitar negeri ini dimulakan sejak Ahad lalu dengan lebih 45 premis sudah diperiksa setakat ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 5:49 PM