SEMBILAN  kenderaan terpakai musnah dalam kebakaran. FOTO Ihsan Bomba
SEMBILAN kenderaan terpakai musnah dalam kebakaran. FOTO Ihsan Bomba
Shamsul Kamal Amarudin


SEMBILAN kenderaan terpakai yang sudah tidak digunakan lagi musnah dalam kebakaran di hadapan kedai barangan lusuh di Jalan Temenggong, Pasir Puteh, Ipoh, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, maklumat mengenai kejadian itu diterima anggota polis di Balai Polis Pasir Puteh 5.27 pagi dan bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan siasatan.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, didapati terdapat dua jentera bomba dan sebuah jentera kenderaan sukarelawan bomba berada di tempat kejadian sedang memadamkan kebakaran.

“Kebakaran membabitkan beberapa kenderaan terpakai ‘half-cut’ yang diletakkan di hadapan premis itu secara bertingkat-tingkat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Ali berkata, jarak kenderaan dengan premis kira-kira 0.9 meter dan dianggarkan lebih kurang sembilan kenderaan terpakai yang terbakar.

Beliau berkata, siasatan awal pihak bomba belum mengetahui punca kebakaran dan pihak forensik bomba akan membuat siasatan semula hari ini.

Katanya, kebakaran itu tidak membabitkan kematian atau kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 11:59 AM