MAYAT Mohd Nazri  dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut.
MAYAT Mohd Nazri dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut.
Helmy Abd Rahman dan Rosli Ilham


Dungun: “Duit itu gaji yang diterima abang dan gaji milik seorang lagi rakan kami selepas majikan menjual hasil tangkapan,” kata Mohd Shazrin Yaccob, 33.

Mohd Shazrin, nelayan yang selamat dalam kejadian bot gentian kaca terbalik selepas dipukul ombak di muara sungai Kuala Dungun, di sini, pada malam Rabu lalu.

Dia berkata demikian selepas mayat abangnya, Mohd Nazri, 37, ditemui terapung pada jam 8.50 pagi semalam kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian bot mereka terbalik.

Turut ditemui bersama mayat mangsa itu ialah wang tunai berjumlah RM3,965 di dalam poket seluar kanan yang dipakai Allahyarham Mohd Nazri.

Mohd Shazrin berkata, majikan mereka, Zul Mahamad, 43, dikatakan menyuruh arwah menyimpan wang gaji rakan mereka yang hanya dikenali Baharin selepas menjual hasil tangkapannya.

“Elok juga wang itu ditemui ada bersamanya. Kami akan gunakan wang miliknya untuk upah haji buat arwah dan perbelanjaan tahlil.

“Bahagian wang gaji Baharin sebanyak RM1,500 pula akan diserah kembali kepadanya,” katanya.

Menurutnya, dia amat sedih kerana sangat rapat dengan arwah abangnya itu yang banyak mengajarnya erti hidup dan pengorbanan sebagai nelayan.

“Selama 15 tahun kami bersama menjadi nelayan dan tidak pernah berpisah, kehilangannya amat terasa,” katanya ketika ditemui di Pantai Kuala Dungun, semalam.

Menurutnya, jenazah arwah abangnya itu akan dibawa ke kampung asal mereka di Kampung Dalam Rhu, Besut untuk dikebumikan selepas proses bedah siasat.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, empat nelayan hilang selepas bot dinaiki mereka ke Kuala Dungun terbalik dipukul ombak ketika masuk ke muara kuala terbabit.

Mohd Nazri bersama tiga lagi nelayan Che Mohd Afendi Che Ismail, 34, Mohamad Zawawi Mohamed, 27, dan Abdul Wahab Zakaria, 44, hilang selepas pegangan mereka pada bot yang terbalik terlepas apabila kali kedua dipukul ombak.

Mohd Shazrin pula yang turut berada di dalam bot berkenaan selamat selepas berenang hampir tiga jam untuk ke daratan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Ahmad Zailani Yaacub berkata, Mohd Nazri ditemui terapung oleh Pasukan Sukarelawan Perikanan.

“Mayat itu disahkan sebagai Mohd Nazri selepas Pasukan Sukarelawan Perikanan menyambung kembali gerakan pencarian hampir sejam sebelum itu.

“Mangsa kemudiannya dibawa ke daratan sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk menjalani proses bedah siasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2017 @ 3:37 AM