WARGA Yaman,  Mohammed Shawqi didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, semalam.
WARGA Yaman, Mohammed Shawqi didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, semalam.
BERNAMA

Petaling Jaya: Seorang warga Yaman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian seorang peragut yang meragut begnya ketika minum di sebuah restoran, dua tahun lalu.

Mohammed Shawqi Ahmed Zawqari, 27, yang juga perekrut pelajar membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohd Nor Hafidzuddin Yusoff selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris.

Dia yang direman selama tujuh hari pada Julai 2017 didakwa memandu kereta Proton Preve secara berbahaya hingga mengakibatkan kematian Mohamad Azizi Abdul Azis, 25, di hadapan bangunan One South, Seri Kembangan di sini, jam 2.51 pagi, 30 Julai 2017.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda yang boleh sampai RM20,000 jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Rahmat Hazlan memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya disenarai hitam Jabatan Imigresen Malaysia berikutan kes itu.

“Anak guam saya kini berada di Malaysia atas visa pelajar. Dia sudah berkahwin dan isterinya hadir sebagai penjamin hari ini (semalam), tiada risiko untuk dia melarikan diri kerana pasportnya disenarai hitam,” katanya.

Mohd Nor Hafidzuddin membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan, pasport diserahkan kepada mahkamah selain lesen antarabangsanya digantung hingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 11 Februari untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 January 2019 @ 12:16 PM