PEROKOK merokok dalam jarak tiga meter dari premis makanan.  FOTO Izlaily Nurul Ain Hussein
PEROKOK merokok dalam jarak tiga meter dari premis makanan. FOTO Izlaily Nurul Ain Hussein
Izlaily Nurul Ain Hussein


LARANGAN merokok di semua premis makanan yang berkuat kuasa hari ini diterima orang ramai dan menyifatkan ia sebagai satu langkah ke arah mendidik masyarakat menjadi disiplin.

Tinjauan NSTP di beberapa gerai makan sekitar Johor Bahru mendapati majoriti perokok berada di luar kawasan kedai makan atau tiga meter daripada premis makanan itu untuk menghisap rokok.

Bagaimanapun, ada juga seorang dua perokok yang dilihat masih cuba menghisap rokok di meja makan mereka tanpa menghiraukan nasihat pemilik kedai yang memintanya berhenti rokok.

Seorang perokok, Raja Jasni Raja Atan, 42, bersetuju dengan arahan larangan merokok di gerai makan itu dan berpuas hati apabila gerai makan yang dipilihnya untuk bersarapan pagi, hari ini menghormati peraturan yang ditetapkan.

“Saya lihat baguslah pagi ini arahan larangan merokok di premis makanan dipatuhi dan saya berpuas hati, memandangkan saya bukan perokok tegar, sekali sekala sahaja saya hisap rokok.

“Mungkin dengan adanya peraturan seperti ini, saya dan perokok lain akan berhenti merokok terus,” katanya ketika ditemui di warung sarapan pagi di Kampung Dato’ Sulaiman Menteri di Johor Bahru, hari ini.

Kata penjawat awam itu, walaupun susah untuk mendisiplinkan diri, diharapkan semoga perokok yang ada dapat mencuba untuk mematuhi larangan itu.

Bagi Wan Ahmad Fairus Mat Noor, 34, arahan larangan itu tidak menjadi masalah kepada dirinya yang selama ini sudah mengamalkan untuk merokok jauh daripada gerai makan kerana tidak mahu orang ramai termasuk anak-anak kecil dan orang tua menghidu asap rokok.

“Saya sebelum ini memang akan lari lebih jauh sedikit daripada orang lain yang tidak merokok, saya harap perokok lain juga akan ikut dan patuhi larangan ini,” katanya yang juga tukang paip itu.

Sementara itu, pemilik gerai makan, Mohd Helmi Wallat, 50, dia akan memberi nasihat dan melarang pelanggannya daripada menghisap rokok dalam premis kedai itu.

“Hari ini saya ada nampak pelanggan saya hisap rokok tetapi saya minta dia duduk di meja yang saya sediakan tiga meter dari kedai. Kalau ada yang masih ingkar, saya akan cuba nasihat cara baik untuk kebaikan semua.

“Saya juga beri kerusi pada perokok di luar kedai, supaya mereka boleh duduk sebentar sementara merokok, asalkan mereka tidak merokok di dalam kedai,” katanya.

Baginya, arahan larangan itu sebenarnya tidak menjejaskan operasi perniagaannya dan berjalan seperti biasa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 January 2019 @ 11:28 AM