Zuliaty Zulkiffli


RUMAH satu tingkat dan sebuah motosikal Honda Wave musnah dalam kebakaran di Kampung Alor Keriang, Jalan Alor Mengkudu, di Alor Setar, malam tadi.

Dalam kejadian 8.15 malam itu, tiada mangsa dilaporkan berada di dalam rumah berkenaan dan api berjaya dikawal dari merebak.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Pegawai Bomba Kanan II Ahmad Nozlan Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan 8.20 malam dan sepasukan anggotanya tiba di lokasi 12 minit kemudian.

Beliau berkata, operasi pemadaman bermula sebaik sepasukan anggotanya seramai 13 orang bersama tiga jentera dan sebuah motosikal RIM tiba di lokasi.

“Operasi turut dibantu anggota dari Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Kampung Baru, Pengkalan Kundor dan Seberang Nyonya.

“Api berjaya dikawal 8.53 malam dan operasi pemadaman dilakukan sehingga selesai,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Nozlan berkata, setakat ini punca dan kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Disember 2018 @ 8:50 AM