GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Safuri Kamarudin

PENOREH getah menyambut baik langkah kerajaan menetapkan harga lantai getah sekerap kepada RM2.50 sekilogram mulai Januari, ini.

Mereka menyifatkan keprihatinan kerajaan membantu penoreh adalah langkah tepat bagi membantu mereka yang terkesan akibat kejatuhan harga getah yang teruk.

Penoreh, Azmi Ahmad, 58, dari Kampung Charok Bakong, Baling berkata, penetapan harga lantai itu dapat membantu meringankan beban penoreh selepas harga getah sekerap tidak stabil dan jatuh sehingga RM1.90 sekilogram.

“Saya dapat menarik nafas lega apabila kerajaan mengumumkan penetapan harga lantai getah kepada RM2.50, sekurang-kurangnya harga getah naik sedikit dan kami dapat menambah pendapatan harian,” katanya.

Bagi penoreh, Rojenah Romli, 60, dari Kampung Dalam Wang, Baling, kerajaan perlu menambah baik kaedah penyaluran bantuan terutama kepada penoreh di luar bandar.

“Kerajaan perlu mewujudkan mini kaunter di kawasan luar bandar bagi memudahkan penoreh getah membuat tuntutan.

“Sukar bagi penoreh membuat tuntutan kerana terpaksa ke pusat bandar dan memerlukan perbelanjaan yang banyak,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengusaha dan Penoreh Getah (PERGETAH) Negeri Kedah, Mohd Taufik Yaacob berkata, penetapan harga getah sekerap membuktikan keprihatinan kerajaan kepada rakyat.

Menurutnya, beban penoreh sikit sebanyak terubat sejak sekian lama mereka menunggu kenaikan harga komoditi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Disember 2018 @ 6:33 PM