KETUA Dewan Ulama PAS Melaka, Zulkifli Ismail (empat dari kanan) membaca talkin selepas arwah Mustaffa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Padang Lalang, Jempol. FOTO Abnor Hamizam.
KETUA Dewan Ulama PAS Melaka, Zulkifli Ismail (empat dari kanan) membaca talkin selepas arwah Mustaffa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Padang Lalang, Jempol. FOTO Abnor Hamizam.
Abnor Hamizam Abd Manap


“ALLAHYARHAM kelihatan termenung ketika meninjau sekolah tahfiz diasaskannya, petang semalam,” kata Najmuddin Rabbani, 29, mengenai bapanya, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Mustaffa Daharun, 60, yang meninggal dunia, hari ini.

Beliau berkata, arwah bapanya sempat melawat Sekolah Rendah Islam Integrasi Tahfiz Darul Ulum (SRIIDU) Jempol termasuk projek pembinaan bangunan baharu sekolah itu yang terletak berhampiran rumah mereka pada 6 petang semalam.

“Selepas itu, arwah duduk di kerusi berhampiran pintu masuk pejabat sambil termenung.

“Saya tidak menyangka itu kali terakhir arwah melihat kawasan sekolah ditubuhkannya empat tahun lalu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kuala Jempol di Jempol.

Mustaffa meninggal dunia akibat masalah paru-paru ketika mendapatkan rawatan di Hospital Jempol pada 8.12 pagi hari ini.

Terdahulu, Allahyarham mengadu sesak nafas selepas solat Subuh di rumahnya sebelum dihantar ke hospital berkenaan.

Kira-kira 1,000 orang termasuk Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad hadir memberi penghormatan terakhir ketika pengebumian jenazahnya di Tanah Perkuburan Islam Padang Lalang, Jempol.

Menceritakan mengenai peribadi bapanya, Najmuddin berkata, Allahyarham adalah seorang yang tegas, namun penyayang terutama dengan sembilan anaknya.

“Beliau mengajar kami mengaji al-Quran membolehkan kami khatam pada usia antara enam hingga tujuh tahun.

“Walaupun tegas, beliau selalu bergurau dan suka melayan kerenah anak,” katanya.

Allahyarham meninggalkan isteri, Bibah Tumin, 60 dan sembilan anak berusia 17 hingga 30 tahun selain enam cucu.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Darul Ulum, Mohd Fairuz Mohd Isa, berkata arwah antara yang mencadangkan supaya SRIIDU dibuka di Jempol.

“Kali terakhir kami bertemu ketika saya menghantar Allahyarham dan keluarganya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk mengerjakan umrah pada 5 Disember lalu,” katanya.

Berita berkaitan

'Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan sudah tiada'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Disember 2018 @ 11:39 PM