BAS percuma disediakan kerajaan negeri. FOTO Abnor Hamizam
BAS percuma disediakan kerajaan negeri. FOTO Abnor Hamizam
Abnor Hamizam Abd Manap


BAS percuma yang disediakan oleh kerajaan negeri diharap dapat memberi manfaat kepada orang ramai yang masih memerlukan perkhidmatan pengangkutan awam berkenaan.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, tiga laluan dibuka bagi perkhidmatan bas percuma itu iaitu masing-masing di Seremban dan Jempol.

Katanya, RM1.4 juta diperuntukkan bagi melaksanakan perkhidmatan berkenaan pada tahun ini seperti diumumkan dalam belanjawan negeri tahun ini.

“Dua laluan bas percuma membabitkan Seremban dan laluan ketiga di Jempol.

“Hari ini (semalam), kita adakan pelancaran bagi Jempol dan bas percuma itu melalui jalan utama dari Bahau ke Bandar Seri Jempol.

“Ia membabitkan laluan yang menjadi tumpuan seperti sekolah, kolej, pejabat kerajaan, hospital, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol, taman perumahan dan pasar raya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Perasmian Perkhidmatan Bas Percuma Peringkat Daerah Jempol di Dataran Majlis Perbandaran Jempol (MPJL) hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru Negeri Sembilan Teo Kok Seong dan Yang Dipertua MPJL Raja Norazli Raja Nordin.

Aminuddin berkata, khidmat bas percuma itu bermula 21 Januari lalu dengan kekerapan sekali setiap satu jam bermula jam 6.30 pagi sehingga jam 5.30 petang.

Katanya, kerajaan berharap perkhidmatan ini memberi manfaat kepada penduduk malah membantu rakyat menjimatkan kos sara hidup.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata, kerajaan negeri sudah menghantar permohonan untuk menaik taraf Jalan Bahau-Keratong kepada Kerajaan Pusat dan masih menunggu kelulusan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 January 2020 @ 5:04 PM