Izad Thaqif Hassan


Sungai Petani: "Umi (ibu), ayah dah meninggal." Ungkapan sayu Muhammad Nabil Khalaf, 5, yang meruntun hati ahli keluarga yang mendengarnya.

Walau masih kecil, kanak-kanak itu seakan mengerti makna sebenar pemergian bapanya, Sarjan Mohd Kamal Ramli, 41, yang maut dihempap pokok ketika operasi di pedalaman Hutan Belum, Gerik, Perak semalam.

Isteri Kamal, Koperal Siti Nafishah Mohd Nasir, 29, berkata, anak sulung daripada dua beradik itu mengetahui kejadian menimpa arwah daripada perbualan datuknya yang menerima panggilan telefon memaklumkan kejadian itu.

"Adik saya yang bertugas bersama Allahyarham di Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD), Kem Sungai Ara, Pulau Pinang menghubungi bapa untuk memaklumkan kejadian berkenaan, 10 pagi semalam.

"Muhammad Nabil Khalaf mendengarnya dan segera menyampaikan kepada saya sambil menangis teresak-esak," katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Taman Ria Jaya, malam tadi.

Siti Nafishah yang juga anggota tentera bertugas di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani berkata, kali terakhir dia bertemu arwah Kamal pada sehari sebelum suaminya melaporkan diri di Kem Sungai Ara.

SITI Nafishah menunjukkan gambar Allahyarham suaminya yang meninggal dunia ketika operasi di Hutan Belum Gerik, Perak semalam. FOTO Izad Thaqif Hassan.
SITI Nafishah menunjukkan gambar Allahyarham suaminya yang meninggal dunia ketika operasi di Hutan Belum Gerik, Perak semalam. FOTO Izad Thaqif Hassan.

"Allahyarham lapor diri pada 30 Jun lalu dan sepatutnya pulang 1 September depan. Ketika itu dia sempat berpesan kepada anak sulung supaya menjaga saya, adik, datuk dan ahli keluarga lain dengan baik.

"Allahyarham juga berkelakuan seperti biasa, sempat memberitahu dan meminta saya supaya menunggu kepulangannya nanti," katanya yang reda dengan pemergian suami.

Perkongsian hidup mereka dikurnia dua anak iaitu Muhammad Nabil Khalaf dan Muhammad Nur Fariman, 2.

Sementara itu ibu Allahyarham, Shamsiah Awan Ludin, 75, berkata, dia dimaklumkan kejadian pada 11 pagi oleh pengurusan Tentera Darat Malaysia (TDM) dan segera ke Kedah dari Negeri Sembilan bersama anak dan saudara lain.

"Kami tiba 9 malam tadi. Allahyarham anak keempat daripada tujuh beradik, seorang yang gemar bergurau dan kali terakhir kami bertemu sebelum Ramadan lalu," katanya yang berasal dari Felda Lui Timur, Jempol.

Jenazah Mohd Kamal tiba di kediaman keluarga pada 1 pagi hari ini dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Solihin Taman Kelisa, di sini.

Berita berkaitan

2 tentera maut dihempap pokok ketika jalani operasi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Julai 2022 @ 8:44 AM