GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhammad Yusri Muzamir


LELAKI ditahan selepas dipercayai menumbuk dan mengugut pemandu bas Rapid Penang di Bandar Sri Pinang di Georgetown , semalam.

Dalam kejadian 7.30 malam itu, suspek berusia 46 tahun itu dikatakan bertindak demikian selepas dia tidak dibenarkan menaiki bas terbabit.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, ketika kejadian bas dipandu mangsa dari Bandar Seri Pinang menuju ke KOMTAR, melalui Jalan Lebuh Macallum.

Katanya, ketika kejadian, seramai lima penumpang berada di dalam kenderaan itu.

Menurutnya, bas berhenti di simpang empat kerana lampu merah sebelum suspek mengetuk pintu depan kenderaan berkenaan.

“Mangsa tidak membuka pintu kerana bukan di hentian bas. Suspek kemudian pergi ke bahagian sebelah tempat pemandu.

“Suspek kemudian masuk ke dalam bas itu sebelum meludah serta menumbuk pengadu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kedua-duanya bergelut dan mangsa mengunci pintu bas dari dalam sebelum meneruskan pemanduan ke stesen bas di Pengkalan Weld.

“Dengan bantuan pihak polis bantuan, suspek berjaya dibawa ke Balai Polis Lebuh Pantai. Mangsa kemudian membuat laporan polis,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Disember 2018 @ 6:09 PM