Lelaki cedera selepas kereta dinaikinya dirempuh sebuah kereta yang dipandu secara melawan arus dalam kejadian di susur keluar Jambatan Pulau Pinang menghala Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Lelaki cedera selepas kereta dinaikinya dirempuh sebuah kereta yang dipandu secara melawan arus dalam kejadian di susur keluar Jambatan Pulau Pinang menghala Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Lelaki cedera selepas kenderaan dinaikinya dirempuh sebuah kereta yang dipandu secara melawan arus di susur keluar Jambatan Pulau Pinang menghala Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian itu, kereta Perodua Bezza dipandu mangsa dikatakan dirempuh pemandu BMW 5 Series yang dikesan memandu secara melawan arus dari arah Lebuh Macallum.

Kejadian turut menyebabkan pemandu BMW cedera dan kedua-duanya dihantar ke hospital bagi rawatan lanjut.

Saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Norhan berkata, kejadian berkenaan berlaku kira-kira 1 pagi.

Katanya, ketika itu dia dalam perjalanan pulang ke rumah sebelum melihat sebuah kereta berwarna putih, dipandu secara lawan arus di lebuh raya menghala pusat bandar.

"Pada mulanya saya sangka dia tersalah jalan namun apabila ada simpang bagi kereta itu keluar, dia tetap memandu lawan arah menyebabkan saya mula curiga.

"Saya rakam pergerakan kereta itu apabila ia memasuki laluan susur keluar jambatan sebelum terdengar bunyi dentuman kuat dan mendapati kenderaan itu melanggar kereta lain yang datang dari arah Seberang Perai," katanya di sini hari ini.

Susulan itu, Norhan bersama orang awam lain menyelamatkan pemandu kereta Bezza sebelum dibawa ke hospital.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong ketika dihubungi berkata pihaknya akan memberi kenyataan tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2023 @ 3:19 PM