Hadzlihady Hassan


KAKITANGAN Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di Georgetown, hari ini kerana menyebabkan kecederaan kepada doktor dan jururawat selepas membakar klinik di sebuah hospital swasta, September lalu.

Tertuduh, M Balachandran, 39, membuat pengakuan itu sejurus kertas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

Mengikut pertuduhan, Balachandran dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas seorang doktor, Leong Wing Seng, 55, dan jururawat K Preama, 29, dengan mencurahkan petrol dan menyalakan api ke arah mangsa.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya pada 3 September lalu jam 4.48 petang di tingkat 1 bilik klinik UN6 Hospital Lam Wah Ee.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda atau sebat.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Aimy Zainul Anwar, manakala tertuduh pula diwakili R Dev Chandran.

Mazdi kemudiannya menetapkan 3 Januari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.

Selain itu, beliau juga menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak dibenarkan mendekati mangsa atau saksi dalam kes terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 November 2018 @ 2:56 PM