Oleh Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Seorang penganggur mengaku bersalah atas dua pertuduhan cubaan membunuh anak saudaranya ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Tertuduh, Mohammad Azmin Hamanullah, 28, membuat pengakuan itu apabila pertuduhan dibacakan jurubahasa secara berasingan di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

Bagi pertuduhan pertama, bekas pemandu lori itu mengaku bersalah cuba membunuh seorang bayi perempuan berusia 44 hari sehingga menyebabkan kecederaan di Flat Nusantara, Jalan Makloom, di sini, kira-kira jam 3 petang, 2 Ogos lalu.

Manakala bagi pertuduhan kedua, dia sekali lagi mengaku bersalah cuba membunuh seorang kanak-kanak perempuan berumur tiga tahun sehingga menyebabkan kecederaan pada mangsa di lokasi sama kira-kira jam 3.30 petang.

Mohammad Azmin didakwa mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta denda dan jika perbuatan itu menyebabkan cedera kepada seseorang, tertuduh boleh dikenakan penjara maksimum 20 tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lee Jun Keong dan Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh yang berpakaian hospital dengan tangan kirinya berbalut kelihatan berada dalam keadaan keliru dan berulang kali menyatakan pengakuan bersalah dan pada masa sama turut mohon dibicarakan.

Mazdi kemudian memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta di Perak untuk pemeriksaan tahap kesihatan mentalnya.

"Jaminan tidak dibenarkan. Mahkamah perintahkan kamu dihantar ke Hospital Bahagia untuk pemeriksaan lanjut mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah," katanya.

Mahkamah menetapkan 11 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pada 3 Ogos lalu, media melaporkan polis menahan seorang lelaki berusia 28 tahun yang dikatakan melempar anak saudaranya berusia tiga tahun dari tingkat satu pangsapuri kediaman mereka.

Suspek turut dilapor menghempas bayi perempuan berusia 44 hari yang merupakan anak kepada kakaknya ke lantai sebelum mengelar pergelangan tangan kirinya sendiri.

Insiden itu menyebabkan bayi berkenaan mengalami bengkak pada kedua-dua belah mata manakala kakaknya mengalami keretakan tulang paha di bahagian kaki kiri selain cedera pada bibir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2023 @ 1:33 PM