ZAINUL Watoni, 31, hadapi pertuduhan membunuh warga tempatan, Rizal Muhamad, 37, di Ladang Kambau, pada 4 November lalu di Mahkamah Majistret Kota Tinggi. FOTO Mohd Sabran Md Sani
ZAINUL Watoni, 31, hadapi pertuduhan membunuh warga tempatan, Rizal Muhamad, 37, di Ladang Kambau, pada 4 November lalu di Mahkamah Majistret Kota Tinggi. FOTO Mohd Sabran Md Sani
Mohd Sabran Md Sani


LELAKI warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Tinggi, hari ini, atas pertuduhan membunuh lelaki tempatan berdekatan Jalan Pintu Palang, Blok 5, Petak D12, Ladang Kambau di Kota Tinggi, 4 November lalu.

Tertuduh, Zainul Watoni, 31, yang berpakaian lokap oren hanya mengangguk kepala tanda faham akan pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah pada 10 pagi.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Zainul yang berasal dari Lombok, Indonesia didakwa dengan niat membunuh dan menyebabkan kematian terhadap Rizal Muhamad, 37.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu antara 7.15 malam hingga 10 malam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum gantung sampai mati.

Zainul juga menghadapi pertuduhan kedua tidak memiliki apa-apa pas yang sah dikeluarkan mengikut undang-undang untuk masuk ke negara ini.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di simpang masuk Kampung Perpat, Mukim Sedili, Kota Tinggi pada 8.04 malam, 9 November lalu.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu dan didakwa mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Mohd Nasir.

Terdahulu, seorang lelaki warga tempatan dikenali sebagai Rizal ditemui mati dengan kesan tikaman dan kelar di seluruh tubuh di Ladang Kambau, pada 4 November lalu.

Mangsa ditemui orang awam di tepi jalan masuk ke ladang itu.

Mayat mangsa mempunyai kesan tikaman di dada, perut dan lima kesan tikaman di belakang badan, selain kesan kelar di kening dan leher manakala jari kiri dan kanan dihiris.

Berikutan itu polis menahan sepasang kekasih dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan lelaki yang ditemui dalam lubang tadahan air terbabit.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, kedua-dua yang dipercayai pasangan kekasih ditahan itu adalah seorang lelaki warga Indonesia dan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 30-an.

Hasil siasatan yang dijalankan, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi berjaya menahan dua suspek utama bagi kes pembunuhan itu di Kampung Perepat Sedili, di sini.

Berita berkaitan

Mayat lelaki dalam lubang tadahan air

[UPDATE] Pasangan kekasih ditahan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 November 2018 @ 12:11 PM