Calon SPM maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 7, dekat simpang tiga Plaza Tol Pedas-Linggi, di sini, petang semalam. FOTO IHSAN POLIS
Calon SPM maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 7, dekat simpang tiga Plaza Tol Pedas-Linggi, di sini, petang semalam. FOTO IHSAN POLIS
Ahmad Hasbi


Rembau: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut selepas motosikal ditunggang melanggar treler di Kilometer 7, dekat simpang tiga Plaza Tol Pedas-Linggi di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata mangsa Muhammad Adiff Haikal Mohd Mizam, 17, meninggal dunia ketika menerima rawatan di zon merah Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban, kira-kira jam 5.30 petang.

"Kejadian jam 1.03 tengah hari itu dipercayai berlaku ketika treler jenis Scania dari arah Plaza Tol Pedas Linggi dan berhenti di simpang tiga Jalan Pedas-Kundur-Linggi untuk menghala masuk ke arah sebelah kanan ke Kundur.

"Bagaimanapun, ketika treler itu sedang keluar ke simpang, datang motosikal Yamaha LC135 ditunggang mangsa dari Kundur menghala ke Pedas tidak dapat mengelak, lalu dikatakan terlanggar tayar bahagian tengah sebelah kanan treler," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hazri berkata, akibat daripada kemalangan itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Undang Rembau itu mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Rembau.

"Dia kemudiannya dibawa ke HTJ, tetapi disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan," katanya dan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 11:27 AM