ANGGOTA polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengangkat mayat Goh selepas kemalangan membabitkan dua motosikal dan sebuah SUV di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) di Taman Paya Emas, Bertam Ulu, Melaka, hari ini. FOTO Rasul Azli Samad.
ANGGOTA polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengangkat mayat Goh selepas kemalangan membabitkan dua motosikal dan sebuah SUV di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) di Taman Paya Emas, Bertam Ulu, Melaka, hari ini. FOTO Rasul Azli Samad.
Nur Saliawati Salberi


PENUNGGANG motosikal maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) Taman Paya Mas, Bertam Ulu, Melaka, hari ini.

Kemalangan 4.35 petang itu membabitkan dua motosikal dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan X-Trail.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad, berkata mangsa, Goh Zhan Xuan, 20, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati sebelum kejadian mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda dan sebuah lagi motosikal Yamaha 135 LC ditunggang wanita berusia 36 tahun dalam perjalanan dari arah Sungai Udang ke Taman Paya Mas.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila SUV dipandu seorang lelaki warga Vietnam berusia 38 tahun tersilap lorong dan memandu di laluan bertentangan.

“Kedua-dua motosikal terbabit yang kebetulan melalui lokasi kejadian kemudiannya bertembung dengan SUV berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

Afzanizar berkata, akibat kemalangan itu, Goh meninggal dunia di lokasi kejadian manakala penunggang wanita itu cedera di lengan kiri.

Beliau berkata, pemandu SUV itu kemudian dibawa ke Hospital Melaka untuk diambil sampel darah bagi siasatan lanjut.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 November 2018 @ 10:07 PM