Peruntukan besar untuk hasilkan pendidikan lebih berkualiti di semua peringkat. FOTO Faiz Anuar
Peruntukan besar untuk hasilkan pendidikan lebih berkualiti di semua peringkat. FOTO Faiz Anuar
Mohd Anwar Patho Rohman

KEMENTERIAN Pendidikan menerima peruntukan terbesar dalam Belanjawan 2019 membabitkan RM60.2 bilion atau 19.1 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, peruntukan besar itu selaras dasar kerajaan yang mahu mewujudkan suasana pendidikan lebih berkualiti di semua peringkat.

Katanya, daripada jumlah itu, RM652 juta diperuntukkan untuk menaik taraf dan menyelenggara semua sekolah di seluruh negara.

“Sekolah Kebangsaan (SK) akan menerima RM250 juta, manakala RM50 juta masing-masing untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

“Sebanyak RM50 juta turut disediakan masing-masing kepada Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, Sekolah Mubaligh dan Sekolah Tahfiz.

“Bagi Sekolah Pondok yang berdaftar akan disediakan RM25 juta, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) atau Conforming School (RM15 juta) dan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) sebanyak RM12 juta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, peruntukan RM100 juta turut disediakan untuk membina semula sekolah daif di seluruh negara.

Pembinaan sekolah tambahan pula katanya, akan dibiayai melalui kaedah pertukaran tanah secara tender terbuka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 November 2018 @ 6:22 PM