Siraj Mohd Zaini

SUNGAI Klang akan dijadikan sumber ekonomi baharu di Selangor menerusi Projek Selangor Maritime Gateway (SMG).

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shaari berkata, projek membabitkan keluasan 35,612 hektar di sepanjang sungai berkenaan akan menekankan konsep penjanaan semula bandar.

Beliau berkata, ia membabitkan komponen pembangunan seperti perdagangan, perhotelan, pelancongan, perumahan dan industri perkhidmatan.

“Secara langsung projek ini dapat meningkatkan tahap kebersihan kualiti air di dalam lembangan dan rizab Sungai Klang sekurang-kurangnya di tahap kelas II.

“Langkah ini dapat mengenalpasti punca pencemaran, memantau serta menguatkuasakan peraturan undang-undang pelepasan sisa buangan ke dalam sungai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2018 peringkat Selangor di Shah Alam, hari ini.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli bagi merasmikan sambutan berkenaan.

Turut berangkat hadir, Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, kebersihan dan keindahan Sungai Klang menerusi projek berkenaan dapat dijadikan sebagai alternatif pengangkutan awam seperti teksi dan bas sungai terutama dari muara sungai hingga ke kawasan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

“Kerajaan Selangor bersetuju untuk menerima pakai dan melaksanakan Pelan Induk SMG dan ia sudah dimasukkan ke dalam Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Klang (MPK) (Penggantian) 2035,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Oktober 2018 @ 6:59 PM
SULTAN Sharafuddin Idris Shah mendengar penerangan daripada Ketua Pengarah Eksekutif Eco World, Datuk Chang Khim Wah (tiga dari kiri) selepas Majlis Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2018 Peringkat Selangor di Pusat Konvensyen Setia Alam, Shah Alam, hari ini. Hadir sama, Tengku Permaisuri Norashikin (tiga dari kanan) dan Amirudin (kanan). FOTO Roslin Mat Tahir.