Sanusi (kiri) dan Vincent Tan
Sanusi (kiri) dan Vincent Tan
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan beliau tidak akan membuat permohonan maaf secara terbuka seperti yang dituntut tokoh korporat, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun dan Berjaya Land Berhad (Berjaya Land) ke atasnya.

"Tak akan (minta maaf), kes itu masih berkembang, dokumen sedang diserahkan jadi kita tengok sehari dua lagi," katanya ketika ditemui selepas hadir Program Mai Sat Bersama Menteri Besar Kedah di sini, hari ini.

Semalam, Vincent Tan yang juga Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad serta Berjaya Land menuntut permohonan maaf secara terbuka dan pampasan ganti rugi RM200 juta daripada Muhammad Sanusi.

Ia susulan dakwaan Menteri Besar itu yang dikatakan membuat kenyataan berunsur fitnah dan tidak benar mengenai Projek Gerbang Maritim Selangor (SMG).

Muhammad Sanusi dikatakan menyampaikan ucapan berbaur politik, fitnah, palsu, tidak berasas dan tanpa bukti bertujuan menggugat Vincent Tan dan Berjaya Land secara langsung atau tidak langsung berkaitan projek terbabit ketika 'Jelajah Mega PN (Perikatan Nasional) Best' dan 'PN Best Sayangi Kedah Sejahtera Mega Tour', 2 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 10:44 PM