LEMBU dipercayai dicuri ditemui mati dengan empat kaki diikat pada pokok di kawasan semak di Taman Pinggiran Airport, Seberang Takir, Kuala Nerus, hari ini. FOTO Zaid Salim.
LEMBU dipercayai dicuri ditemui mati dengan empat kaki diikat pada pokok di kawasan semak di Taman Pinggiran Airport, Seberang Takir, Kuala Nerus, hari ini. FOTO Zaid Salim.
Zaid Salim


SEEKOR lembu ditemui mati dalam keadaan empat kaki diikat pada pokok di kawasan semak di Taman Pinggiran Airport, Seberang Takir, Kuala Nerus, awal pagi hari ini.

Haiwan yang dipercayai dicuri itu ditemui sepasukan anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Teluk Ketapang, Seberang Takir, ketika melakukan rondaan di kawasan taman berkenaan pada 1.40 pagi.

Ketua Skuad SRS, Zainudin Awang, berkata sebelum kejadian, dia bersama tujuh anggota melakukan rondaan harian bagi memastikan keselamatan di kawasan kampung dan pantai sekitar kawasan Seberang Takir.

Bagaimanapun, katanya, sebaik pasukannya melakukan rondaan di kawasan taman berkenaan, anggotanya ternampak kelibat seekor lembu diikat pada pokok.

“Apabila menghampiri haiwan berkenaan, kami dapati haiwan itu sudah mati dan terdapat kesan luka dan calar pada badan.

“Kami percaya haiwan terbabit dicuri dan diikat di kawasan semak untuk disembelih, tetapi pencuri terbabit melarikan diri selepas menyedari kehadiran kami,” katanya.

Zainudin berkata, dia kemudian membuat laporan polis berhubung penemuan itu di Balai Polis Gong Badak, Kuala Nerus.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Oktober 2018 @ 1:16 PM