BOT milik Saini yang tersadai di kawasan Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu selepas mengalami kerosakan enjin diletakkan di atas treler menggunakan kren untuk dibawa ke jeti nelayan Kampung Seberang Takir. FOTO Zaid Salim.
BOT milik Saini yang tersadai di kawasan Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu selepas mengalami kerosakan enjin diletakkan di atas treler menggunakan kren untuk dibawa ke jeti nelayan Kampung Seberang Takir. FOTO Zaid Salim.
Zaid Salim


KERANA terdesak, seorang pemilik bot nelayan terpaksa menjual lembu kesayangan daripada baka Charalois yang dimilikinya sejak enam tahun lalu bagi menampung perbelanjaan membaiki bot yang mengalami kerosakan teruk selepas dua hari tersadai di kawasan Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu.

Saini Awang, 48, berkata bot berkenaan sebelum ini dimiliki arwah abangnya yang diamanahkan kepadanya, namun tersadai selepas mengalami kerosakan berhampiran muara Sungai Terengganu ketika dalam perjalanan pulang dari laut ke Jeti Nelayan Kampung Seberang Takir, Kuala Nerus, Selasa lalu.

“Melalui hasil jualan lembu itu dapatlah kira-kira RM6,000, tetapi jumlah itu masih belum mencukupi dan saya terpaksa gunakan duit simpanan serta pinjam daripada rakan untuk menampung kos mengangkut bot dan membaikinya yang mencecah RM20,000.

“Bot ini harta pusaka peninggalan arwah abang dan diamanahkan kepada saya untuk menjaganya, jadi saya akan melakukan apa sahaja bagi menyelamatkan harta pusaka ini daripada musnah begitu saja,” katanya ketika ditemui NSTP.

Anak jati Kampung Bukit Tumbuh, Kuala Nerus itu berkata, bot berkenaan awalnya hanya mengalami kerosakan enjin tetapi disebabkan dua hari tersadai di kawasan pantai menyebabkan kerosakan pada badan bot semakin banyak akibat dipukul ombak termasuk kerosakan peralatan dalam bot antaranya Sistem Pengesan Kedudukan Global (GPS).

Menurutnya, bagi mengelakkan bot berkenaan mengalami kerosakan teruk, dia terpaksa menaikkan bot berkenaan ke kawasan pasir sebelum dibawa ke Jeti Nelayan Kampung Seberang Takir dengan menggunakan treler sebelum dibaiki.

“Kerja menaikkan bot ini ke darat dan membawanya ke jeti (Kampung Seberang Takir) memerlukan perbelanjaan besar kerana terpaksa menyewa kren, treler dan jengkaut.

“Sebelum ini, saya memelihara tiga ekor lembu baka berkenaan, namun dua daripadanya sudah dijual bagi membaiki bot berkenaan sebaik diserahkan kepada saya beberapa tahun lalu.

“Kali ini, saya terpaksa pula menjual lembu ketiga untuk membaiki kerosakan ini,” katanya yang bekerja sebagai Pembantu Makmal Sekolah Menengah Teknik, Kuala Nerus.

Sementara itu tekong bot, Saiful Azwan Che Asdi, 30, berkata ketika kejadian, dia bersama dua awak-awak dikenali Azri dan Pok Tar yang berusia 20-an dan 50-an mengakui panik dan cemas berikutan kejadian itu berlaku di kawasan muara.

“Saya berusaha beberapa kali menghidupkan enjin tetapi gagal. Bagi mengelak bot karam, kami menjatuhkan sauh tetapi gagal kerana arus di bawah laju menyebabkan sauh tidak melekat di dasar.

“Kami semakin panik apabila air mula memasuki bahagian belakang tetapi saya bersyukur kerana ketika itu ombak tidak berapa besar,” katanya yang berpengalaman lebih 10 tahun sebagai nelayan.

Nelayan dari Kampung Tanjung Batu Rakit itu berkata, dia menggunakan sepenuh pengalamannya menggunakan sauh bagi mengawal bot melanggar benteng pemecah ombak ketika hanyut sebelum tersadai di pantai berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Disember 2018 @ 11:58 AM