ZUNAIDAH (kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen. FOTO Mohd Azren Jamaludin
ZUNAIDAH (kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Mohd Sabran Md Sani


BEKAS Pengarah Kolej Kemahiran Belia Nasional (KKBN) Pontian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini atas pertuduhan pecah amanah membabitkan peruntukan elaun pelajar dan wang pentadbiran bernilai RM11,315 pada tahun 2014.

Tertuduh, Zunaidah Abdul Razak, 56, membuat pengakuan itu sejurus kertas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Zunaidah yang kini suri rumah didakwa dengan curang menyalahgunakan bagi kegunaan sendiri wang berjumlah RM11,315.

Wang berkenaan diperuntukkan bagi elaun pelajar dan pelbagai belanja pentadbiran pejabat KKBN Pontian.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Berhad Pontian Kechil, Wisma Koperasi, Jalan Taib, Pontian Kechil, pada 28 Mei 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Norsyarina Raizan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 22 November ini.

Terdahulu tertuduh yang tiba pada 9 pagi diiringi pegawai SPRM memasuki kamar mahkamah.

Kes itu kemudian didengar pada 9.15 pagi sebelum tertuduh yang berbaju jubah ungu dan tudung coklat kelihatan tenang mendengar pertuduhan dibacakan.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh bagaimanapun meminta budi bicara mahkamah membenarkan jaminan rendah mengambil kira dia kini suri rumah, suami bekerja sendiri dan mempunyai dua anak masih di universiti.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Gambar Mohd Azrin Jamaludin

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Oktober 2018 @ 10:22 AM