Siraj Mohd Zaini

MAYAT lelaki yang ditemui tersangkut di sampah di Sungai Klang berhampiran Kampung Sungai Kandis, Shah Alam, semalam dipercayai milik mangsa hilang Jumaat lalu.

Dalam kejadian Jumaat lalu, seorang lelaki berusia 22 tahun yang menunggang sebuah motosikal dipercayai hilang selepas cuba membantu mangsa tragedi kemalangan di Lebuhraya Baru Lembah Pantai (NKVE).

Mayat berkenaan ditemui beberapa pekerja yang menjalankan pembersihan di kawasan perangkap sampah itu kira-kira jam 11 pagi sebelum menghubungi pihak berkuasa.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Mohd Rizal Buang berkata, bertindak atas maklumat diterima, seramai 10 anggota dikejarkan ke lokasi penemuan mayat itu.

Katanya, sebaik sampai, anggotanya menemui mayat lelaki terapung di bahagian perangkap sampai kunci air berhampiran Kampung Sungai Kandis.

“Mayat berjaya dibawa naik dan diserahkan kepada polis yang kemudian membawa mayat berkenaan ke Hospital Shah Alam, Selangor (HSAS) untuk bedah siasat.

“Jarak mayat ditemui adalah kira-kira 12 kilometer dari lokasi kemalangan yang berlaku pada Jumaat lalu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jumaat lalu, seorang lelaki dan seorang wanita maut dilaporkan maut dalam kemalangan membabitkan sebuah lori kontena, treler, lori dan sebuah Honda Civic.

Bagaimanapun, pada Sabtu, polis menerima laporan seorang lelaki berusia 22 tahun hilang apabila motosikalnya ditemui dalam keadaan bertongkat dan enjin masih hidup di lokasi kemalangan.

Usaha mencari lelaki itu, Amir Hamzah Mohd Rozali kemudian giat dijalankan oleh bomba dan polis di sepanjang sungai berkenaan kerana dikhuatiri tercampak dari atas jambatan dan dihanyutkan air.

Berita berkaitan:

'Saya yakin itu mayat Amir '

Penunggang motosikal 'hilang' dicari...

Hilang atau 'kena sorok'?

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Oktober 2018 @ 7:19 PM