Nor Azizah Mokhtar


WANITA warga Vietnam yang tiba-tiba keluar dari teksi dan meluru ke arah anggota polis trafik meminta diselamatkan di Lebuhraya Damansara-Puchong berhampiran Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, Khamis lalu dikatakan mengalami masalah mental.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, perkara itu dimaklumkan oleh suami wanita berusia 33 tahun berkenaan semasa polis mengambil keterangannya beberapa hari lalu.

“Suami mangsa mendakwa isterinya ada masalah mental sebelum ini, bagaimanapun mangsa ketika ini masih menerima rawatan lanjut di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat kecederaan pinggul yang dialaminya.

“Pemeriksaan mendapati kecederaan itu berpunca dia terjatuh sendiri. Siasatan masih diteruskan dan kes mungkin akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Mohd Zani sebelum ini memaklumkan, mangsa yang berusia 33 tahun berkahwin dengan lelaki rakyat Malaysia beberapa tahun lalu dan mempunyai seorang anak lelaki berusia empat tahun selain mengandung 14 minggu.

Dalam kejadian kira-kira 10.15 pagi itu, mangsa dipercayai menaiki teksi di kawasan Puchong tetapi tidak memberitahu pemandu teksi ke mana hendak pergi sebelum teksi itu berhenti di lampu isyarat dan mangsa bertindak keluar dari teksi apabila melihat kenderaan polis.

Anggota polis terbabit kemudian menghubungi ambulans sebelum mangsa yang tidak boleh bertutur bahasa tempatan dan mempunyai kesan lebam baru dan lama di beberapa bahagian badan, dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

Polis sudah mengambil keterangan daripada pemandu teksi berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan

Tiba-tiba keluar teksi!

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Oktober 2018 @ 3:56 PM