MOHD Nazari ketika melawat Pusat Media Kementerian Komunikasi dan Multimedia. FOTO Ohd Khidir Zakaria
MOHD Nazari ketika melawat Pusat Media Kementerian Komunikasi dan Multimedia. FOTO Ohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


DI sebalik kesibukan memenuhi program kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, ada khabar gembira yang membuatkan calon PAS, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar, tersenyum lebar.

Kira-kira 1 pagi, hari ini beliau dan isteri, Naziroh Yusof, dimaklumkan anak kedua mereka selamat melahirkan cucu ke-10 pasangan itu.

"Alhamdulillah, saya dapat cucu baharu di Shah Alam pagi tadi, maka hari ini kempen saya dipendekkan seketika untuk menziarahi anak dan cucu.

"Kedua-duanya sihat. Walaupun sedang hangat berkempen, tetapi saya dan isteri perlu juga mengutamakan keluarga," katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan di Pusat Media Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Port Dickson, hari ini.

Dalam perkembangan lain, PAS menyerahkan kepada pucuk pimpinan sama ada ingin mengambil tindakan terhadap isu calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dikatakan berkempen dalam kem tentera, semalam.

Mohd Nazari juga ingin mengetahui jika tindakan Anwar itu bermakna enam calon lain boleh melakukan perkara sama.

"Kalau calon PH boleh masuk kem berkempen dan bercakap dengan pengundi, kenapa kami enam calon lain tak boleh?

"Saya juga mahu menerangkan tawaran khidmat yang boleh saya berikan untuk warga tentera kerana saya bekas tentera.

"Dia (Anwar) bercakap 10 hingga 20 minit dengan pengundi saya, maka beri saya peluang sama kepada warga tentera yang bakal mengundi pada 9 Oktober ini," katanya.

Mohd Nazari mengakui sambutan pengundi amat menggalakkan sejak memulakan kempen seminggu lalu.

"Saya dapat sambutan baik terutama ahli UMNO yang positif menerima kunjungan saya dan rombongan ketika berkempen.

"Saya akan terus bergerak berjumpa seramai mungkin pengundi dan pada masa sama, semua jentera turut mengedarkan risalah pengenalan calon.

"PAS menghormati undang-undang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika berkempen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Oktober 2018 @ 4:41 PM