ANWAR
ANWAR
Farah Marshita Abdul Patah

KETUA Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya beliau berpotensi menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson berdasarkan rekod prestasi cemerlangnya dalam mempertahankan warga dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Anwar berkata, PAS mempunyai hak untuk meletakkan mana-mana calon yang difikirkan sesuai untuk bertanding bagi PRK Port Dickson.

Bagaimanapun katanya, rekod prestasi beliau mempertahankan ATM dan golongan veteran sudah terbukti sejak dahulu, malah boleh diakses dan dibaca dalam hansard Parlimen.

“Ketika Datuk Seri Najib Razak mencadangkan kem Sungai Besi diswastakan kepada Jho Low dan geng, saya membantah di Parlimen malah menegas dan mempertahankan hak veteran untuk dilindungi.

“Rekod itu sangat jelas dan saya percaya pengundi boleh mengaksesnya. Saya juga akan turun padang untuk berjumpa dan menawarkan perkhidmatan saya kepada pengundi,” katanya kepada media sebaik selesai prosiding saman fitnah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, Presiden Kelab Kebajikan Veteran dan Pesara Tentera (KERABAT), Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar, 57, diumumkan sebagai calon PAS.

Mohd Nazari yang berasal dari Batu Pahat, Johor berkhidmat selama 28 tahun dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan pernah menjadi Pengarah Perkhidmatan TUDM serta Pegawai Pemerintah Markas Operasi TUDM, Kuala Lumpur.

PRK Port Dickson diadakan selepas penyandang kerusi, Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletakkan jawatan ini bagi memberi laluan kepada Anwar ke Dewan Rakyat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 13 Oktober ini sebagai hari mengundi dan penamaan calon, Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 September 2018 @ 12:09 PM