TUAN Ibrahim (kanan) menyerahkan watikah pelantikan calon PAS untuk PRK Port Dickson kepada Mohd Nazari pada Majlis Pengisytiharaan Calon PAS PRK Port Dickson di Markas PAS Bukit Tembok, Pasir Panjang, Port Dickson, malam tadi. FOTO Iqmal Haqim Rosman.
TUAN Ibrahim (kanan) menyerahkan watikah pelantikan calon PAS untuk PRK Port Dickson kepada Mohd Nazari pada Majlis Pengisytiharaan Calon PAS PRK Port Dickson di Markas PAS Bukit Tembok, Pasir Panjang, Port Dickson, malam tadi. FOTO Iqmal Haqim Rosman.
Mohd Khidir Zakaria


YANG Dipertua PAS Kawasan Tenggara, Johor, Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar diumumkan sebagai calon parti itu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.

Pengumuman dibuat Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man di Markas PAS Bukit Tembok, Pasir Panjang, Port Dickson, malam tadi.

Beliau berkata, pemilihan Mohd Nazari yang juga bekas pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) amat sesuai kerana pernah berkhidmat di Port Dickson.

“Walaupun calon kita datang dari Tenggara, Johor, tetapi Port Dickson bukan asing baginya kerana pernah berkhidmat di sini.

“PAS mengambil keputusan untuk bertanding dalam PRK Port Dickson adalah kerana UMNO tidak letak calon dan kita perlu beri saingan atas dasar demokrasi,” katanya dalam sidang media.

Mohd Nazari 57, berasal dari Batu Pahat, Johor mempunyai isteri, Naziroh Yusof dan mempunyai lima anak serta sembilan cucu.

Hadir sama, Naib Presiden PAS yang juga Pengarah Jawatankuasa Induk PRK Port Dickson, Datuk Iskandar Abdul Samad; Setiausaha Agong PAS, Datuk Taqiyuddin Hassan dan Pesuruhjaya PAS negeri, Mustaffa Daharun.

PRK Parlimen Port Dickson akan diadakan 13 Oktober ini, manakala penamaan calon berlangsung Sabtu ini.

Setakat ini, dua parti dan orang perseorangan menyatakan hasrat untuk bertanding.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku calon Pakatan Harapan bakal dicabar calon daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon bebas Stevie Chan Keng Leong.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 September 2018 @ 12:48 AM