Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


SEBUAH premis di Kawasan Perindustrian Ringan 1, Mantin, dekat Seremban yang dipercayai dijadikan makmal memproses dadah tidak sempat beroperasi apabila diserbu polis, kelmarin.

Dalam serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai pada 1.45 tengah hari itu, 2.6 kilogram syabu dianggarkan bernilai RM200,000 dirampas.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaluddin berkata, pihaknya menerima maklumat awam dan melakukan intipan sebelum serbuan ke atas premis berkenaan.

Katanya, di bahagian hadapan premis dijadikan stor penyimpanan perabot bagi mengaburi mata pihak berkuasa manakala di bahagian belakang dijadikan makmal memproses dadah.

“Selain dadah, pemeriksaan turut menemui peralatan yang digunakan untuk memproses dadah.

“Siasatan mendapati premis itu dijadikan makmal memproses dadah tetapi belum sempat beroperasi ketika serbuan dilakukan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di Seremban, hari ini.

Noor Azam berkata, tiada tangkapan dibuat ketika serbuan di premis tidak bernombor itu namun unit forensik berjaya mengesan 15 cap jari.

“Semua cap jari itu akan dianalisa bagi mengetahui ia milik siapa dan akan menjejaki mereka bagi membantu kes yang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Menurutnya, polis proaktif untuk membanteras kegiatan memproses, menyeludup dan mengedar dadah di negeri itu dan mengalu-alukan kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat.

“Setakat ini polis Negeri Sembilan berjaya membanteras beberapa makmal memproses dadah iaitu di Rembau, Port Dickson, Nilai dan Seremban.

“Kita akan mengambil tindakan ke atas sindiket pengedaran dadah yang dilihat mahu menjadikan negeri ini sebagai makmal memproses bahan terlarang itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 11:46 PM