GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hazsyah Abdul Rahman


MAYAT pekerja ladang ditemui terdampar selepas hilang ketika memukat bersama isterinya di pantai Kampung Bangingod dekat Felda Sahabat 16, Lahad Datu, semalam.

Mayat Erwin Labban, 32, ditemui penduduk kira-kira 5.30 petang semalam, iaitu tiga hari selepas dilaporkan hilang sejak lewat petang Ahad lalu.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Abu Bakar Teraji berkata, mangsa dilaporkan memukat ikan di pantai itu kira-kira jam 6 petang bersama isteri dengan cara berendam dalam air yang ketika itu berada pada paras dada.

“Mereka dipercayai hampir selesai memukat dan dalam proses untuk pulang sebelum mangsa dilaporkan tiba-tiba hilang.

“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 11.22 malam hari sama sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan pada 6 pagi Isnin.

“Pasukan SAR gagal menemui mangsa dan pencarian diteruskan sehinggalah mayatnya ditemui oleh penduduk Kampung Bangingod, petang semalam, kira-kira 30 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Abu Bakar berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke bilik mayat Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 8:53 AM