SAIFUL Bukhari (tengah) ketika ditemui di dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Port Dickson, hari ini. FOTO Iqmal Haqim Rosman
SAIFUL Bukhari (tengah) ketika ditemui di dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Port Dickson, hari ini. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Syed Umar Ariff


“SUDAH lama saya tidak jumpa dia.”

Begitu reaksi Mohd Saiful Bukhari Azlan selepas diminta menyatakan pandangan terhadap bekas majikannya, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa dalam kes liwat pada 2008.

Saiful Bukhari yang bertanding sebagai calon Bebas dan bakal berdepan Anwar bagi kerusi Parlimen Port Dickson, mengakui tidak akan mengungkit kontroversi lalu sebagai bahan kempennya dalam pilihan raya kecil ini.

Katanya, beliau mengambil bahagian untuk mewakili Port Dickson yang pernah menjadi ‘taman permainannya' baginya.

“Saya mahu berada di Parlimen ini. Ketika kanak-kanak, saya pernah tinggal di Port Dickson.

“Sudah tentu saya sayangkan PD, maka saya membuat keputusan bertanding pada PRK ini.

“Saya berasal dari PD tetapi dibesarkan di Seremban," katanya ketika ditemui di perkarangan Pusat Penamaan Calon PRK Port Dickson di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson, hari ini.

Pada Jun 2008, Saiful membuat laporan polis mendakwa diliwat Anwar di sebuah kondominium di Kuala Lumpur.

Pada Februari 2015, Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman tiga tahun penjara terhadap Anwar selepas didapati bersalah, namun mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 September 2018 @ 11:21 AM